APA ITU KAUNSELING
Kaunseling merupakan satu hubungan yang professional di antara kaunselor yang terlatih dengan klien sama ada secara individu atau berkumpulan bagi mengatasi kebuntuan dengan bimbingan kaunselor bagi mencapai matlamat yang ditetapkan secara tepat dan cepat. Di dalam mengendalikan proses kaunseling, terdapat pelbagai teori yang diguna pakai bagi membantu kaunselor mengatasi pelbagai permasalahan yang dibawa oleh klien. Teori-teori ini telah dikaji selidik bagi merungkai pemahaman mengenai jiwa manusia. Penyelidikan mengenai cara pemikiran dan jiwa manusia ini telah banyak memberi manfaat kepada pelbagai bidang yang melibatkan pembangunan manusia. Kajian ini juga telah memberikan sumbangan yang besar kepada bidang pendidikan yang memerlukan pemahaman mengenai cara manusia berfikir dan bertingkah laku. Kajian ini juga memberi manfaat kepada bidang kaunseling bagi mengatasi memberikan pengetahuan kepada kaunselor untuk membimbing klien mengatasi masalahnya.
Menurut kamus dewan m.s 1341 teori bermaksud pendapat yang dikemukakan untuk menerangkan sesuatu perkara. Ianya juga merupakan satu andaian yang mengandungi beberapa idea dan pandangan yang menjelaskan sesuatu kejadian atau fenomena. Teori ini memberikan kesan yang amat mendalam bagi pelaksanaan sesi kaunseling. Kaunselor dapat mengetahui dan meramal tingkah laku klien dan seterusnya memudahkan kaunselor membimbing klien bagi menyelesaikan masalah mereka. Sebagai contohnya dengan menggunakan teori yang sedia ada, kaunselor akan lebih mudah untuk meramal dan menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi oleh kliennya.
Kepentingan dan Fungsi Teori Dalam Kaunseling berdasarkan Pendapat Tokoh-tokoh Tentang Teori Kaunseling
Di dalam proses kaunseling, terdapat pelbagai pendapat daripada tokoh-tokoh mengenai penggunaan teori semasa pelaksanaan sesi kaunseling. Arnold Lazarus (1981) mengatakan bahawa kaunselor atau terapis tidak memerlukan teori. Smith dan Glass (1977) pula berpendapat bahawa pandangan sesuatu teori itu diberikan taraf kepentingan yang begitu tinggi yang tidak sepatutnya. Pandangan begitu berasaskan dakwaan bahawa semua kaunselor melakukan aktiviti yang sama, mendapat keputusan yang sama, malah ada yang menggunakan teknik-teknik yang tidak bersangkut paut dengan teori yang didukungnya. Ini bermakna teori yang didukungnya itu nampaknya tidak memberi apa-apa faedah.
Jerome Frank (1971), pula berpendapat bahawa teori amat penting kepada orang yang mengamalkannya. Baginya, teori itu penting sebab ia memberi erti, keyakinan, dan hala tuju kepada kaunselor. Jadi, kita boleh membuat kesimpulan daripada keterangan Frank bahawa teori memberi fokus kepada kaunselor tentang apa yang dilakukannya terhadap kliennya. Dengan demikian, kaunselor dapat memberi sepenuh perhatian dan tenaga terhadap apa yang difikirkannya menjadi punca masalah yang dialami oleh kliennya.
Keperluan teori dalam pelaksanaan kaunseling adalah amat penting. Dalam satu proses kauseling, teori-teori ini diperlukan bagi memudahkan kaunselor memilih pendekatan yang bersesuaian bagi membimbing klien yang bermasalah. Dengan adanya kajian dan teori-teori ini juga memudahkan kaunselor untuk memahami tingkah laku klien dan seterusnya meramalkan tingkah laku klien. Berdasarkan teori-teori ini juga dapat melahirkan kaunselor yang lebih berilmu dan professional dalam menangani masalah klien dalam sesuatu sesi kaunseling.
Selain dari itu, dengan pengetahuan melalui teori kaunseling, kaunselor dapat menjelaskan sesuatu kejadian yang berlaku setelah membuat beberapa pemerhatian. Sebagai contoh, dalam satu kes masalah tingkah laku pelajar yang mempunyai sikap yang suka membuli di sekolah. Setelah kaunselor membuat pemerhatian mengenai latar belakang pelajar tersebut di dapati bahawa kedua ibu bapa pelajar tersebut sering menggunakan kaedah hukuman kepadanya jika melakukan kesalahan. Justeru, melalui teori kaunseling behaviorisme yang dipelajari, kaunselor dapat menjelaskan bahawa tingkah laku tersebut merupakan salah satu impak negatif kepada tingkah laku murid tersebut hasil daripada pelaziman operan yang diamalkan oleh kedua ibu bapanya.
Teori kaunseling juga dapat membantu kaunselor untuk menguasai sesuatu keadaan tertentu. Sebagai contoh, bagi mengatasi klien yang tidak mahu bekerjasama kaunselor boleh menggunakan teori pelaziman operan di mana kaunselor memberikan peneguhan positif kepada klien jika mengeluarkan sesuatu pendapat bagi merangsang klien supaya dapat bekerjasama untuk meneruskan sesi kaunseling.